Isnin, 11 Januari 2010

Memartabatkan Bahasa Melayu

Posted by MiSz BeRrY
MESYUARAT Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15 di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Kuala Lumpur, baru-baru ini, mendesak penggunaan perkataan Melayu dan bahasa Melayu kembali diperkasakan terutama dalam urusan rasmi kerajaan.

Ini kerana persatuan penulis yang mewakili Wilayah Persekutuan itu, menganggap penggunaan istilah bangsa Malaysia dan bahasa Malaysia yang sebelum ini bertujuan menyatupadukan rakyat, dijadikan agenda untuk menafikan hak pribumi dan ketuanan Melayu.

Setiausaha Satunya, Mohd Taib Nordin, berkata penggunaan istilah bangsa Melayu dan bahasa Melayu mesti diberi penegasan dan diguna pakai dalam semua urusan, sekali gus ia dapat memartabat lagi mendaulatkan bangsa serta bahasa Melayu.

“Tindakan segera perlu diambil memandangkan penggunaan istilah bangsa Malaysia dan bahasa Malaysia mutakhir ini secara halus dijadikan agenda untuk menafikan hak pribumi dan ketuanan Melayu,” katanya.

Justeru, Kalam mendesak kerajaan agar mengeluarkan pekeliling dan mewartakannya serta mengarah mahupun menyelaraskan penggunaan istilah bangsa Melayu dan bahasa Melayu dengan serta-merta.
“Penggunaan istilah bangsa Melayu dan bahasa Melayu ini saja digunakan pada semua lapisan peringkat sama ada peringkat tertinggi atau terendah agar jati diri serta maruah bangsa tidak luput mahupun tergadai.

“Ini termasuklah mengembali dan memasukkan butiran keturunan Melayu ke dalam kad pengenalan bagi bangsa Melayu agar jati diri anak bangsa tetap utuh dan terpelihara untuk selama-lamanya,” katanya pada mesyuarat agung yang dipengerusikan Hasni Abas dan dihadiri Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad.

Bagaimanapun, perincian usul yang membabitkan pelabelan dan pemasyhuran kembali penggunaan Semenanjung Tanah Melayu bagi Malaysia Barat ditolak 30 ahli Kalam kerana alasan ia melangkaui skop yang ditetapkan dalam Perlembagaan Kalam sebagai persatuan penulis.

Kenyataan Mohd Taib itu terjalin dengan baik oleh usul ahli Kalam, Hamzah Hamdani yang mahu persatuan penulis itu mengusulkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dijadikan bahasa utama serta teras dalam gagasan 1Malaysia.
“Tindakan ini perlu dilaksanakan segera memandangkan ada badan korporat yang merendahkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan perdagangan dengan meletakkannya pada kedudukan ketiga selepas bahasa Mandarin dan Tamil.

“Tindakan itu secara terang-terangan tidak mencerminkan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus kami mahu penyiaran iklan terbabit ditarik balik dengan segera,” katanya yang juga Bendahari Gapena.

Hamzah berkata, penyiaran iklan itu menjejaskan reputasi dan status penggunaan bahasa Melayu dalam wahana pengiklanan media elektronik perdana dan prejudis terhadapnya dipamerkan secara terang-terangan.

Usul lain yang turut dibahas dan diterima dalam mesyuarat agung itu ialah pelantikan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan ketokohan, kepakaran dan pengalaman dalam bidang sastera, bahasa, kebudayaan dan penerbitan.

Ciri terbabit dikemukakan kerana bagi Kalam dengan memenuhi ciri terbabit baru DBP berupaya menampilkan ketokohan dan kesungguhan dalam membawa dan menaikkan imej badan berkanun terbabit sebagai institusi ilmu yang berwibawa.

Terdahulu daripada itu, Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud dalam ucapan pendahuluannya, berkata Kalam akan memperluaskan hubungan dengan badan kerajaan dan korporat untuk menggerakkan program sastera termasuk di ibu kota.

“Kami bercadang untuk melantik Datuk Bandar atau Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai penaung kepada persatuan dalam rangka menjalankan kegiatan sastera khususnya di Kuala Lumpur,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

~Kisah Cinta Uda & Dara~

Daisypath Anniversary tickers

~Alhamdulillah.. HusbandnWife~

Daisypath Anniversary tickers

~IkatanPertunanganKami~

Daisypath Anniversary tickers

~AlFatihahBuatHeroKami(AyahandaTercinta)~

Lilypie Angel and Memorial tickers

by misz berry. Dikuasakan oleh Blogger.
 

sEiYa SeKaTa mR & mRs F Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | web hosting